Isnin, 20 April 2009

PROGRAM BERAKIT SUNGAI SIPUT





Cuti sempena Keputeraan DYMM Sultan Perak pada 17 - 20 April, 2009 sememangnya cuti paling sibuk bagi Pejabat Belia dan Sukan Sungai Siput. 2 program diadakan pada masa yang sama iaitu Program Berakit Sungai Siput dan Kem Kepimpinan Asas (Belia berpersatuan); manakala di Ipoh pula Bengkel Pemantapan dan Pengurusan Sukan Komuniti anjuran Pesuruhjaya Sukan.

Saya difahamkan, bengkel di Ipoh pada 17 - 18 April dihadiri En. Amer Izzuddin, Pegawai Belia dan Sukan. Kelab Sukan Komuniti Jalong turut menghantar 2 peserta iaitu Setiausaha - Syed Daud dan Bendahari - Krishna Kumar.

Kem kepimpinan di Pangkalan Hulu pada 17 - 19 April dikendali oleh Puan Maizatul Yusni, Penolong Pegawai Belia dan Sukan. Seramai 42 peserta mengikuti program tersebut adalah pemimpin-pemimpin persatuan belia yang baru didaftarkan dengan Pendaftar Belia. Pengerusi KSK Jalong, Ng Kah Choong diberi satu slot ceramah bertajuk 'Konsep Kepimpinan'. Beliau juga menutup rasmi kem tersebut bagi pihak Majlis Belia Daerah Sungai Siput selaku Timbalan Pengerusi.

Program berakit ke Kuala Kangsar pada 17 - 19 April diterajui oleh En. Khairul, Penolong Pegawai Belia dan Sukan. KSK Jalong turut menghantar 10 peserta yang terdiri dari 5 India dan 5 orang asli. AJK KSK Jalong, Mohamad Taufik bertindak sebagai salah satu tenaga urusetia. Y. Bhg. Dato' Haji Dzulkifly Harun adalah tetamu khas merasmikan program ini.

Peserta-peserta program berakit telah mendapat ilmu pengetahuan dan membelajari sesuatu yang tidak dapat dalam sekolah. Mereka diajar teknik-teknik mengikat dan membuat rakit serta memasak. Peserta juga disemai dengan semangat keyakinan diri ketika di air.

Pada keseluruhannya semua peserta berjaya membentuk jati diri dan membina semangat berpasukan. Tahap interaksi dan komunikasi turut ditingkatkan. Fizikal, mental dan ketabahan peserta diuji ketika menghadapi cabaran mengharungi Sungai Perak. Program seumpama adalah sesuai untuk belia dan wajar disertai oleh belia-belia.







Ahad, 19 April 2009

BENGKEL PEMANTAPAN PENGURUSAN KELAB SUKAN KOMUNITI





Pesuruhjaya Sukan Malaysia telah mengadakan Bengkel Pemantapan Pengurusan Kelab Sukan Komuniti Negeri Perak pada 17 - 18 April, 2009 di Hotel Heritage, Ipoh. Kelab Sukan Komuniti Jalong diwakili oleh Setiausaha, Syed Daud dan Bendahari, Krishna Kumar. Ini adalah kali kedua bengkel seumpama diadakan. Kali pertama di Kompleks Rakan Muda Taiping pada tahun 2006.

Isu yang menarik perhatian ramai adalah Karnival Sukan Komuniti yang akan diadakan pada tahun ini menggantikan Liga Sukan Komuniti. 4 sukan akan dipertandingkan iaitu bolasepak, bola jaring, bola tampar dan sepak takraw. RM20,000 diperuntukan untuk tujuan ini. KSK Jalong telah memohon peruntukan tersebut sejak awal bulan Mac.









Sabtu, 4 April 2009

LIGA SUKAN KOMUNITI







Pelancaran Liga Sukan Komuniti 2007



Sukan massa telah diperkenalkan kepada masyarakat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sukan massa yang juga dikenali sebagai sukan untuk semua adalah aktiviti rekreasi, fizikal dan sukan yang berlaku secara spontan dengan tujuan mengalakkan penyertaan lebih luas dari masyarakat setempat.

Sukan massa telah diperhalusi oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan dengan cadangan mengadakan liga sukan komuniti pada tahun 2006. Langkah pertama untuk memastikan liga sukan komuniti berjalan lancar, Kelab Sukan Komuniti harus ditubuhkan terlebih dahulu di peringkat bawah iaitu di Dewan Undangan Negeri sebagai asas.

Bengkel dan taklimat liga sukan komuniti telah diadakan oleh pihak Kementerian beberapa kali sebelum ini. Tujuan bengkel dan taklimat adalah mempastikan semua pengelola diperingkat akar umbi memahami objektif liga sukan komuniti dan penubuhan kelab sukan komuniti. Pengerusi penaja Kelab Sukan Komuniti Jalong, Ng Kah Choong telah menghadiri bengkel dan taklimat tersebut tidak kurang dari 3 kali.

Pada 10 April, 2006 semua penaja kelab sukan komuniti dipanggil ke Dewan FELDA, Jalan Semarak, Kuala Lumpur untuk menandatangani surat akujanji penubuhan kelab sukan komuniti. Majlis menandatangani surat akujanji tersebut turut mencipta rekod Malaysia iaitu penandatangan akujanji terbanyak. Kelab Sukan Komuniti Jalong diwakili oleh pengerusi penaja, Ng Kah Choong.

Sejak itu, KSK Jalong berjaya mengadakan Liga Sukan Komuniti DUN Jalong pada tahun 2006 dan 2007. Pada tahun ini (2009), KSK Jalong berhasrat mengadakan Karnival Sukan Komuniti pada bulan Mei / Jun.




KOMUNITI CERGAS, RIANG RIA




SATUKAN HATI, JATIKAN DIRI














Ahli